Kuala Pilah terkenal sebagai pusat pelancongan kebudayaan dengan seni warisan Adat Perpatihnya selain dari tempat rekreasi dan gelaran "Bandar Diraja di Negeri Sembilan".
Penduduknya yang berpegang kuat pada adat perpatih dan ianya tidak dapat disangkal lagi. Mungkin adat perpatih jarang diamalkan, tetapi pegangan kepada adat-adat lain dan keseniannya masih dikekalkan dan ia semakin terkenal sehingga kini.
"BIAR MATI ANAK, JANGAN MATI ADAT" pepatah yang begitu sinonim dengan Negeri Sembilan kerana ianya bukan kata-kata kosong, tetapi mempunyai makna yang mendalam dan masih dikekalkan hingga ke zaman penuh dengan kemodenan ini.
ISTANA SERI MENANTI
Istana Di Raja Seri Menanti terletak di bandar Sri Menanti, Negeri Sembilan. Istana ini diperbuat daripada kayu belian tanpa menggunakan sebarang paku. Dibina pada 1902, istana ini mempunyai ciri-ciri senibina Minangkabau yang unik.
Warna hitam bangunan ini menjadikan ia kelihatan tersergam indah dari jauh. Bangunan setinggi 65 kaki ini, mempunyai 99 tiang kayu keras dan ketinggiannya adalah 65 kaki. Pelbagai motif bunga turut diukur pada kayu belian yang digunakan untuk membuat istana ini.
Kini, istana yang dahulunya menjadi kediaman rasmi Raja telah dijadikan Muzium DiRaja khas. Orang ramai boleh mengunjungi pameran yang terdapat di sini. Mereka yang ingin mengetahui lebih dekat tentang kehidupan keluarga DiRaja bolehlah datang ke sini. Terdapat pelbagai bahan pameran seperti senjata api, pakaian serta dokumen berkaitan keturunan DiRaja.
MAKAM TUAN TULIS
Tun Tulis atau Tuan Tulis adalah gelaran kepada seorang ulama Negeri Sembilan yang bernama Haji Ismail Bin Hussein. Beliau berasal dari Kampung Kuala Talang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau dilahirkan pada 1840-an dan meninggal dunia pada tahun 1923.
Tun Tulis adalah seorang anak muda yang miskin tetapi penuh semangat untuk menuntut ilmu agama. Kerana kemiskinannya, beliau tidak mampu untuk membeli buku. Oleh itu, beliau meminjam buku dari rakan-rakannya dan menyalin buku itu dengan tulisannya sendiri. Dari situ rakan-rakannya mengelarkannya dengan gelaran Ismail Tulis.
Selepas perguruannya, beliau tidak henti-henti menulis kitab sehinggalah orang kampung menggelarkannya Tuan Tulis. Selepas beliau meninggal dunia, Yang Dipertuan besar Negeri Sembilan mentitahkan agar dibina bangunan di makam Tun Tulis dan bangunan tersebut kekal hingga ke hari ini.
TAPAK MEGALITIK
Perkataan 'megalitik' yang berasal dari perkataan Greek 'mega' yang membawa maksud besar dan 'lithos' iaitu batu, boleh didefinasikan sebagai batu besar yang didirikan di atas tanah secara bersendiri dan berpasangan. Batu megalit lebih dikenali sebagai batu hidup dalam kalangan penduduk tempatan kerana dipercayai batu itu boleh tumbuh tinggi dan menganggapnya sebagai keramat.
Penemuan batu megalitik di sekitar negeri ini merupakan tanda perkembangan penempatan masyarakat awal yang menjadikannya sebagai tempat pemujaan, selain menaruh pelbagai kepercayaan yang diyakini mampu mempengaruhi ekonomi (pertanian) serta kebudayaan masyarakat ketika itu. Pada ketika itu juga, masyarakat yang bergantung terhadap pertanian sebagai sumber ekonomi utama mempercayai bahawa penyembahan serta pemujaan batu megalitik mampu membantu mereka untuk memperoleh tanaman yang subur.
Batu-batu megalitik yang merupakan monumen bersejarah itu turut digunakan sebagai tempat masyarakat dahulu berkumpul dan mengadakan persembahan tradisi untuk tujuan riadah. Antara tapak megalitik yang dikenal pasti di sekitar negeri ini ialah Pengkalan Kempas, Kuala Pilah, Kampung Ipoh dan Pulau Sebang di Tampin, Lembah Terachi, Kuala Pilah, Kampung Gedang, Kampung Padang Lebar, Kampung Kundangan Kiri, Kampung Masjid, Kampung Parit Tengah dan Kampung Talang - kesemuanya dalam mukim Terachi (Tampin-Kuala Pilah).
BUKIT SENALING
Dengan ketinggian 394 meter, bukit yang terletak di Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini merupakan tarikan terbaru pendaki di sana. Masa pendakian biasanya akan mengambil selama satu hingga satu jam setengah untuk tiba ke puncak.
Bagaimanapun, buat anda yang ingin mendaki, anda perlu mendapat kebenaran dahulu oleh sebuah organisasi yang diberi mandat oleh Jabatan Perhutanan Negeri, iaitu Ulu Senaling Hikers. Ini kerana sepanjang laluan mendaki bukit, para pendaki perlu melalui tanah-tanah persendirian yang restricted untuk orang luar termasuk kawasan meletak kereta.
GUNUNG ANGSI
Gunung Angsi yang terletak di Tanjung Ipoh yang terletak di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan mempunyai ketinggian setinggi 825 meter (2,702 kaki). Ia merupakan salah satu tarikan bagi Hutan Rekreasi Ulu Bendol dan terbuka bagi pendakian.
Pendakian Gunung Angsi biasanya mengambil masa selama empat jam yang melalui laluan trek sepanjang 4.5 kilometer sepanjang Sungai Batang Terachi. Dari Gunung Angsi, pendaki boleh melihat gunung-gunung berhampiran seperti Gunung Telapa Buruk, Gunung Berembun, Gunung Datuk dan Gunung Tampin.
GUA BATU MALOI
Gua Batu Maloi, Johol terletak di kawasan lembah di pertengahan dua puncak gunung di penghujung Banjaran Titiwangsa iaitu Gunung Datok dan Gunung Tampin.
Keunikannya yang dikagumi ramai, adalah terdapatnya gua yang terbentuk di bawah bongkahan batu yang besar di sepanjang 1km diberi nama Gua Batu Maloi. Di sini juga terdapat sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Johol yang mengalir di kawasan ini serta sesuai sebagai tempat aktiviti perkelahan, mandi-manda dan beristirehat.
HUTAN LIPUR ULU BENDUL
Hutan Lipur ini dibangunkan pada tahun 1971 oleh Tuan Tulis dan dijadikan sebagai tempat ibadat. Pada tahun 1920an, tempat ini dijadikan kawasan riadah iaitu rumah rehat dan lading kuda. Hutan lipur ini terletak di KM 20 jalan Seremban - Kuala Pilah di dalam Hutan Simpan Angsi.
Ia mengambil masa kira-kira 20 minit dari bandar Seremban. Terdapat Gunung Angsi setinggi lebih kurang 825 meter dari aras laut dan ia boleh didaki dengan menyusuri Sungai Batang Terachi. Landskap semulajadi di sini menjadikannya unik untuk mandi-manda dan sesuai bagi aktiviti lasak, berkelah, berkhemah dan bersiar-siar.